Kampung Budaya Terengganu


Perahu mayat, peralatan memerah santan dan kehidupan seharian masyarakat terdahulu antara keunikan serta warisan tersembunyi ditonjolkan untuk tatapan pengunjung di Kampung Budaya Terengganu (KBT).

Walaupun terasa seram dan meremang bulu roma melihat perahu mayat yang dijadikan pengangkutan air utama masyarakat di kawasan pedalaman, tetapi pemandangan panorama indah dan suasana nyaman disajikan, perasaan takut lenyap ditiup angin kesejukan.

Lokasi KBT di kawasan Muzium Negeri yang menyajikan pemandangan indah, selain suasana nyaman antara produk pelancongan baharu dijangka mampu menggamit kedatangan pelancong daripada dalam dan luar negara untuk menyelami sendiri kehidupan masyarakat terdahulu meluangkan masa selepas seharian bermandi peluh mencari rezeki.

Keletihan menyusuri kawasan KBT tidak terasa apabila setiap perhentian disajikan dengan pelbagai keunikan warisan tersembunyi,

selain dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk silat.

Paling menarik perhatian, nilai utama dipersembahkan di KBT adalah keunikan seni bina rumah utama termasuk rumah nelayan, rumah bujang berserambi selasar, rumah bujang berpaleh berkembar, rumah limas Belanda, rumah Tale dan Istana Tengku Long, selain perahu besar kemajuan, pokok gurah, perahu sekoci serta baloh padi.

Keunikan disajikan di setiap persinggahan berupaya menimbulkan perasaan cinta kepada warisan Melayu tradisional dalam kalangan generasi akan datang.

Persinggahan pertama iaitu di galeri pelayaran pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan perahu secara tradisional.

Di sini juga dapat dilihat pokok buah gurah, iaitu sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan di negara ini. Biji buah gurah kebiasaannya dijadikan masyarakat terdahulu untuk dijadikan guli untuk permainan congkak.

Permainan ini tidak asing lagi yang menjadi antara aktiviti santai masyarakat pada zaman dahulu yang turut digemari golongan istana dengan menggunakan papan congkak berukir mewah, manakala rakyat jelata, pada ketika itu dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah.

Turut dihidangkan untuk tatapan pengunjung adalah kehidupan dan aktiviti sebenar masyarakat termasuk aktiviti seharian terutamanya menjahit jala, mengukir kraftangan, membuat kerepok lekor dan belacan serta bermain gendang silat, menganyam tikar nipah, terandak dan menenun songket.

Persinggahan di rumah Tele paling menarik perhatian pelancong apabila terdapat pelbagai barangan dapur lama termasuk alat mengukur kelapa, peralatan memerah santan secara tradisional dan acuan cendol.

Lihat aktiviti masyarakat dahulu

Seorang pengunjung, Leow Shu Yu, 21, yang datang dari Johor bersama ahli keluarga terpegun apabila melihat pelbagai barangan dan perkakas dapur lama tradisional digunakan masyarakat terdahulu masih berkualiti serta bernilai tinggi.

Katanya, kehalusan seni buatan pelbagai barangan dan perkakas dapur antik diperbuat daripada tembaga serta kayu itu adalah warisan sering digunakan masyarakat terdahulu perlu dijaga supaya warisan berkenaan terus terpelihara.

"Saya dapat saksikan barangan dan peralatan lama dipamerkan di setiap persinggahan. Saya ambil peluang untuk menyertai pelbagai acara termasuk memanah.

"Di sini juga dapat menyaksikan aktiviti masyarakat terdahulu iaitu bermain alat muzik tradisional dan bersilat.

 "Kesenian, kebudayaan dan warisan bersejarah yang tersimpan perlu dikongsikan dan diketahui masyarakat supaya tidak lupuk ditelan zaman. Generasi sekarang patut datang dan lihat supaya mereka lebih memahami peralihan sejarah mengikut fasanya," katanya.

Ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 dan rakyat lebih tertumpu ke pusat pelancongan domestik, justeru wajar orang ramai daripada pelbagai bilang kaum berkunjung lokasi seperti ini yang memaparkan kekayaan nilai budaya dan sarat sejarah perlu diselami.

Martabatkan warisan tradisi masyarakat Melayu

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, KBT yang berkonsepkan muzium hidup akan menjadi tarikan baharu pelancong, di negeri ini.

Katanya, KBT dijadikan pusat sehenti menghimpunkan pelbagai seni warisan dari seluruh daerah dalam usaha kerajaan martabatkan warisan tradisi masyarakat Melayu.

Permainan tradisional, congkak sering dimainkan pada zaman dahulu dan seharusnya diperkenalkan kepada generasi sekarang.

"Sebagai produk pelancongan baharu, pengoperasian KBT bukan sahaja akan menjulang kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu, tetapi mengingatkan genarasi muda kepentingan mengetahui asal usul sejarah peradapan Melayu," katanya.

Ariffin menjelaskan, KBT adalah peluang terbaik untuk genarasi muda merasai suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu terdahulu, selain boleh dijadikan pusat rujukan pelajar membuat rujukan bahan bersejarah yang terdapat di negeri ini.

Katanya, pengunjung dan pelancong juga berpeluang melihat sendiri kaedah masyarakat menyediakan pelbagai kueh mueh tradisonal seperti cara membuat dan memasak nakbat, laksa, belacan, kerepok lekor, ikan kering, ketupat daun palas serta merasai keenakkan makanan tradisonal.

INFO: Kampung Budaya Terengganu

Lokasi: Di Losong, Kuala Terengganu
• Dijangka menerima 100,000 tempoh sebulan
• Seramai 94,000 pengunjung pada bulan lalu
• Terletak bersebelahan Taman Tamadun Islam
• Bayaran RM15 orang dewasa; RM10 kanak-kanak.

Di sini ada :
• Perhentian pertama – Galeri Pelayaran.
• Perhentian kedua – Rumah nelayan.
• Perhentian ketiga – Rumah bujang berserambi selasar.
• Perhentian keempat – Rumah bujang berpeleh berkembar.
• Perhentian kelima – Rumah Limas Belanda.
• Perhentian keenam – Rumah Tele.
• Perhentian ketujuh – Laman singgah sana
• Perhentian kelapan – Istana Tengku Long.
• Perhentian kesembilan.

Sumber : Berita Harian


0 Ulasan