Terengganu destinasi utama pilihan penginapan

 

Terengganu menjadi antara destinasi utama pilihan penginapan pelancongan domestik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, data kadar purata penginapan di Malaysia yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) setakat Ogos lalu mendapati Terengganu menduduki tangga kedua selepas Pahang manakala Perak (ketiga0. 

“Alhamdulillah, menerusi data terbaharu ini kita berjaya mengatasi negeri-negeri lain yang dahulunya popular sebagai destinasi pelancongan. 

“Kita memperolehi kadar 65 peratus manakala Pahang yang di tempat teratas pula sebanyak 75 peratus,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke daerah ini semalam.

Ariffin berkata, berdasarkan trend luar biasa itu kerajaan negeri optimis mampu menarik sehingga 5 juta pengunjung sehingga akhir tahun ini, sekali gus melepasi sasaran awal seramai 4.5 juta pelancong. 

Katanya, kemasukan pelancong ke lokasi pelancongan di negeri naik sekali ganda setiap bulan mislanya di Taman Tamadun Islam (TTI) yang daripada seramai 34,000 orang pada Jun lalu meningkat kepada 50,000 pada Julai di samping lebih 94,000 (Ogos).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, prasarana di kawasan rekreasi di pedalaman seperti air terjun dan sungai akan terus ditambah baik termasuk dilengkapi kemudahan tandas dan surau.

“Kita juga akan memastikan setiap lokasi itu dijaga dan diselia supaya kekal bersih, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya. 

Sumber : UTUSAN


0 Ulasan