Persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu mula dibuka


Masalah kesesakan lalulintas di Jambatan Sultan Mahmud dekat sempadan Kuala Nerus dan Kuala Terengganu terutama pada waktu puncak pada masa ini bakal dikurangkan menerusi pembukaan persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh mulai 21 Disember 2017.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata,  persimpangan bertingkat sejauh 350 meter itu bertujuan untuk menyuraikan trafik di Jambatan Sultan Mahmud yang merupakan laluan utama menghubungkan daerah ini dan Kuala Terengganu.

"Kajian mendapati kesesakan trafik di Jambatan Sultan Mahmud sebelum ini disebabkan kapasiti kenderaan yang tinggi untuk ke Seberang Takir melalui Bukit Tumbuh di sini terutama pada waktu puncak dan perayaan.

"Persimpangan bertingkat yang menelan belanja RM25 juta itu diharap mampu menyediakan sistem penyuraian trafik lebih efektif bagi kedua-dua hala bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus," katanya selepas melepaskan trafik di persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Che Kamaruddin Bahar.


Kerajaan bercadang membina lebih banyak laluan bertingkat di Kuala Terengganu bagi mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata,  buat masa sekarang, laluan bertingkat di Jambatan Sultan Mahmud sudah siap dibina dan boleh digunakan serta dapat menyelesaikan kesesakan trafik di kawasan itu.

Katanya, walaupun dengan adanya laluan baru seperti Jambatan Pulau Sekati serta ke Pulau Sekati ianya hanya mampu menyelesaikan dalam masa terdekat kerana pertambahan kegunaan kereta di Kuala Terengganu.

"Kerana itu kita sedang membuat persediaan dengan mencadangkan supaya jalan di kawasan Durian Burung, Teluk Pasu dan juga Batu Enam membawa kepada Tepoh dan juga susur ke Lebuh Raya Pantai Timur 2 untuk dibuat ke konsep jalan empat lorong ini.

"Melihat kepada keperluan ini maka kita perlu laksanakannya sekarang kerana kosnya lebih munasabah disebabkan beberapa faktor antaranya dari segi pengambilan tanah yang akan lebih tinggi bergantung kepada masa," katanya.

"Ini kerana saya melihat potensi Kuala Terengganu sendiri sebagai ibu negeri Terengganu untuk lebih berkembang dengan pesat.

"Maka kerana itu, kita perlu menyediakan infra dan juga prasana yang akan boleh memastikan bahawa ianya selaras dengan peningkatan jumlah rakyat di daerah ini," katanya.

Tambah Ahmad Razif, kerajaan negeri telah menghantar permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk meluluskan projek-projek tersebut.


0 Ulasan