PKPB: Guru sekolah agama di Terengganu tetap terima gaji, elaun

 

Gaji dan elaun guru di semua sekolah agama dan pondok di negeri ini tidak terjejas walaupun semua institusi pendidikan berkenaan ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan sejak Isnin lalu.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata walaupun sekolah ditutup, semua guru masih bertugas dengan pengajaran dilakukan secara dalam talian.

"Tiada sebab JHEAT membuat pemotongan gaji dan elaun guru, mereka bukannya sengaja untuk tidak hadir bertugas, sebaliknya terpaksa berikutan arahan penutupan semua sekolah susulan penguatkuasaan PKPB," katanya ketika dihubungi.

Mat Azmi menjelaskan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai keadaan guru agama berikutan arahan penutupan semua sekolah sehingga tahun depan.

Terdahulu, Pengarah Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan Pelajar Asnaf Kedah, Dr Mohd Faisal Mustaffa meminta bantuan kepada guru di sekolah agama rakyat (SAR) dipertimbangkan memandangkan sebahagian mereka tidak dibayar gaji dalam tempoh pelaksanaan PKPB berikutan ramai ibu bapa tidak menjelaskan yuran persekolahan.

Mohd Faisal berkata, ia menyukarkan guru SAR menjalankan kelas secara dalam talian kerana sumber kewangan mereka turut terjejas.

Mengulas pembelajaran dalam talian, Mat Azmi berkata, semua pengurusan sekolah agama di negeri ini akan menggunakan modul khas untuk kemudahan pembelajaran dalam talian.

Ketika mengulas jumlah keseluruhan sekolah agama yang dikawal selia JHEAT, Mat Azmi berkata, terdapat 24 sekolah menengah agama (SMA) termasuk pusat pendidikan Islam dan tiga madrasah moden.

"Semua SMA dan madrasah moden serta pusat pengajian agama di bawah seliaan JHEAT ditutup Isnin lalu," katanya.

Untuk rekod, semua sekolah agama dan pondok berdaftar di bawah JHEAT sejak PAS mengambil alih kerajaan negeri pada 2018.

Sumber : Berita Harian

 

0 Ulasan