Galeri Petroleum Kembali Dibuka Di Muzium Terengganu


Galeri Petroleum milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang mula beroperasi pada tahun 1995 di Muzium Terengganu dibuka semula kepada orang ramai mulai hari ini.

Majlis perasmian pembukaan semula Galeri Petroleum PETRONAS oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong di Muzium Negeri Terengganu.

Pengurus Besar Perhubungan Awam Petronas, Intan Ainirawati A. Razak berkata, pembukaan semula galeri Petroleum tersebut merupakan satu bukti komitmen Petronas bagi memastikan orang ramai memperolehi maklumat terkini berkaitan perkembangan industri minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, galeri yang dibina pada tahun 1994 itu ditutup sementara sejak 2014 untuk kerja-kerja penambahbaikan serta mengemaskini maklumat berhubung operasi minyak dan gas.

Galeri berkenaan terbahagi kepada beberapa segmen seperti asal usul kejadian minyak mentah dan gas, contoh batuan di perut bumi yang digerudi, profil lapisan tanah dan batuan, model loji yang berasaskan minyak dan gas serta produk akhir minyak dan gas.

Pengunjung juga dapat menyaksikan sendiri bentuk pelantar minyak yang didirikan di tengah lautan serta bagaimana kehidupan pekerja-pekerja di atas pelantar selain tayangan video kerja-kerja yang berkaitan industri terbabit.

Petronas turut melancarkan 'Siri Jelajah Potret Penerima-penerima Anugerah Merdeka' yang mempamerkan koleksi potret penerima anugerah itu antara tahun 2008 hingga 2013. Pameran ini akan berlangsung mulai 26 Mei 2016 di Galeri Seni Lukis Muzium Terengganu sehingga Mac 2017

0 Ulasan