Gangguan bekalan air dijangka pulih 14 Ogos 2021

 

Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka berlanjutan sehingga Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, yang mewakili Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas kerana gagal membekalkan air bersih pada waktu dijanjikan, esok.

"Waktu lebih lama diperlukan untuk kerja baik pulih paip yang pecah itu kerana faktor arus sungai terlalu deras dan penglihatan terhad akibat air di dasar sungai keruh sejak beberapa hari kebelakangan ini.

"Pihak kontraktor dan pasukan teknikal berusaha sehabis daya dan upaya bagi memastikan kerja pembaikan mengikut jadual, namun jangkaan terbaru bekalan air bersih mula diagihkan pada Sabtu ini," katanya pada sidang media.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Helmi Mohamed, Pengarah Wilayah Timur Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Azamy Abdul Aziz Abdul Aziz dan Pengarah Sumai Engineering Sdn Bhd, Wan Hafizul Arsyad Wan Mahyuddin.

Krisis itu yang bermula 2 Ogos lalu, berpunca daripada pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Dr Mamad berkata, setakat ini kerja memasang 'anchor airbag' pada paip, pemasangan 'clamp' penjajaran paip dan kerja mencabut 'clamp' sedia ada sudah selesai 100 peratus.

"Bermula esok, kerja kimpalan untuk memperkukuh struktur paip akan dilakukan dan dijangka siap pada Jumaat ini, seterusnya bekalan air ke sistem akan pulih secara berperingkat pada Sabtu, manakala semua pengguna terjejas akan mendapat bekalan air bersih sepenuhnya pada Isnin," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan air secukupnya, sebanyak 34 lori tangki yang beroperasi 24 jam sehari digerakkan, termasuk ke beberapa premis penting seperti pusat hemodialisis dan pusat kuarantin untuk pesakit COVID-19.

Selain itu, katanya, bagi menampung keperluan semasa dan memudahkan pengambilan air bersih, 151 tangki statik dan 86 pili paip disediakan di seluruh kawasan terjejas.

Sementara itu, Dr Mamad berkata, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas menyiasat kemungkinan krisis itu terjadi akibat aktiviti mengorek pasir.

"Jawatankuasa itu dipengerusikan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan dianggotai beberapa jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), SATU dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu," katanya.

Ditanya kos, Dr Mamad berkata, belum ada perincian namun dijangka lebih RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan baik pulih itu, termasuk kos membekalkan air bersih kepada pengguna sepanjang krisis.

Gangguan bekalan air kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di Terengganu membabitkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 104 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK).

Ia juga kerosakan pam yang pertama berlaku di dasar sungai Terengganu. Kawasan terbabit gangguan itu di Kuala Nerus ialah Bukit Jong, Maras, Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Di Kuala Terengganu pula, kawasan terjejas ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Teluk Menara dan Jeram.

Sumber : BERNAMA

 

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan