Co-op Bank Persatuan Cawangan Kuala Terengganu


Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad (Co-opbank Persatuan) atau juga dikenali Bank Persatuan yang diasaskan sejak 65 tahun lalu melebarkan sayap dengan membuka sebuah lagi cawangannya di negeri Terengganu, menjadikan 18 buah cawangan di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Yusra Sabar berkata, selepas melalui beberapa proses transformasi sejak penubuhannya, Bank Persatuan kini dilihat sebagai sebuah institusi yang mempunyai daya saing yang tinggi setaraf dengan institusi kewangan lain dengan memartabatkan sistem kewangan berlandaskan syariah.

Menurutnya, cawangan lain, iaitu empat cawangan di Pulau Pinang, dua di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur manakala sebuah cawangan di Perlis, Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Johor dan Sarawak.

“Terengganu merupakan cawangan kami yang terkini, iaitu ke-18. Insya-ALLAH, kita akan buka cawangan seterusnya di Kota Kinabalu, Sabah, Seremban, Negeri Sembilan kerana ada permintaan di sana. 

“Dan kemungkinan kita akan menambah satu lagi cawangan lagi di Johor, iaitu di Batu Pahat,” katanya.

Yusra berkata, bagi pembukaan cawangan baharu, ia mengambil tempoh kira-kira tiga bulan untuk pengubahsuaian bangunan. 

“Kita sasarkan setiap negeri sekurang-kurangnya satu cawangan dan juga mengikut keperluan serta saiz negeri.  

“Walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa ini, tetapi Co-opbank Persatuan akan terus berusaha untuk meningkatkan kebajikan dan memberikan pulangan yang terbaik kepada pelanggan dan anggotanya dengan menawarkan produk-produk perbankan yang kompetitif dan penuh integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pembukaan Co-opbank Persatuan Cawangan Kuala Terengganu di Jalan Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

Selain itu, ibu pejabat Co-opbank Persatuan yang sejak awal beroperasi di Butterworth kini dalam proses untuk dipindahkan  ke Kuala Lumpur tahun depan sebagaimana diminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan kini dalam proses membeli sebuah bangunan di ibu negara.  

“Selain 70 peratus memberikan pembiayaan peribadi sehingga RM200,000, Co-opbank Persatuan turut galakkan pembiayaan kepada sektor koperasi dan korporat di seluruh negara selain pembiayaan runcit. Ini selaras dengan pengiktirafan sebagai institusi kewangan utama kepada gerakan koperasi di Malaysia.    

“Selain itu, Bank Persatuan turut menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu dengan jumlah pembiayaan maksima sehingga RM50,000.  Kini terdapat tujuh cawangan telah menawarkan produk Ar-Rahnu kepada orang ramai iaitu, cawangan Butterworth, Nibong Tebal, Johor Bharu, Alor Setar, Putrajaya, Kuching dan Kuala Terengganu,” katanya.

0 Ulasan