Galeri Petroleum Kembali Dibuka Di Muzium Terengganu


Galeri Petroleum milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang mula beroperasi pada tahun 1995 di Muzium Terengganu dibuka semula kepada orang ramai mulai hari ini.

Majlis perasmian pembukaan semula Galeri Petroleum PETRONAS oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong di Muzium Negeri Terengganu.

Pengurus Besar Perhubungan Awam Petronas, Intan Ainirawati A. Razak berkata, pembukaan semula galeri Petroleum tersebut merupakan satu bukti komitmen Petronas bagi memastikan orang ramai memperolehi maklumat terkini berkaitan perkembangan industri minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, galeri yang dibina pada tahun 1994 itu ditutup sementara sejak 2014 untuk kerja-kerja penambahbaikan serta mengemaskini maklumat berhubung operasi minyak dan gas.

Galeri berkenaan terbahagi kepada beberapa segmen seperti asal usul kejadian minyak mentah dan gas, contoh batuan di perut bumi yang digerudi, profil lapisan tanah dan batuan, model loji yang berasaskan minyak dan gas serta produk akhir minyak dan gas.

Pengunjung juga dapat menyaksikan sendiri bentuk pelantar minyak yang didirikan di tengah lautan serta bagaimana kehidupan pekerja-pekerja di atas pelantar selain tayangan video kerja-kerja yang berkaitan industri terbabit.

Petronas turut melancarkan 'Siri Jelajah Potret Penerima-penerima Anugerah Merdeka' yang mempamerkan koleksi potret penerima anugerah itu antara tahun 2008 hingga 2013. Pameran ini akan berlangsung mulai 26 Mei 2016 di Galeri Seni Lukis Muzium Terengganu sehingga Mac 2017

Isu arahan latihan guru tepuk tangan, JPN Terengganu beri penjelasan



Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT) tampil memberi penjelasan berhubung arahan latihan tepuk tangan kepada guru dan pelajar yang menjadi viral di media sosial.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin memaklumkan arahan itu selaras dengan slogan memperkasakan transformasi pendidikan.

Antara perkara yang terkandung di dalam transformasi pendidikan tersebut termasuk memperkasakan budaya menghormati.

"Di bawah elemen ini, kami memperkenalkan budaya salam, budaya berterima kasih, budaya memberi penghargaan kepada sesiapa yang memberi sesuatu kepada kita dengan memberi tepukan.

"Apa yang saya minta cikgu lakukan hanya satu permintaan dalam kumpulan tertutup antara saya, pengetua dan guru besar. Permintaan untuk bertepuk tangan merupakan satu cara menceriakan sesuatu majlis rasmi.

"Saya amat kagum dengan apa yang berlaku di Terengganu kerana sekolah terus mengaplikasikan kepada murid."

Isu ini timbul apabila arahan Shafruddin melalui aplikasi WhatsApp meminta guru besar dan pengetua mengadakan latihan tepuk tangan selama lima minit.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dalam kenyataan kepada sebuah portal berita memaklumkan arahan latihan tepuk tangan itu hanya satu gurauan.

- Astro Awani